Amukan Belanda



KEMAMPUAN Belanda di peringkat antarabangsa tidak pernah terbukti sepenuhnya biarpun muncul naib juara Piala Dunia 1974 dan 1978. Begitupun semua keraguan itu berakhir sebaik mereka menjulang gelaran pertama di Jerman Barat pada edisi Kejohanan Eropah 1988.

Belanda ketika itu dikendali Rinus Michels yang mula bersama kelab itu sejak mereka tewas kepada Jerman dalam final Piala Dunia 1974, justeru kejayaan 14 tahun kemudian membuktikan betapa berkesannya pendekatan Michels yang menitikberatkan latihan terhadap golongan muda serta aksi bola sepak pintar.

Buat kali ketiga, format pertandingan membabitkan siri kelayakan membabitkan liga mini di mana juara kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati di separuh akhir.

Pada pusingan kelayakan, Itali, USSR, England dan Belanda muncul juara dalam kumpulan masing-masing. Sepanyol, Denmark dan Republik Ireland terpaksa bersaing sengit manakala Jerman Barat layak secara automatik selaku tuan rumah.


Satu-satunya masalah yang timbul dalam perlawanan kelayakan adalah ketika Belanda menentang Cyprus di laman sendiri pada Oktober 1987. Belanda menang 8-0 tetapi keputusan itu dibatalkan Uefa kerana insiden mercun yang dibaling ke arah penjaga gol Cyprus, Andres Charitou. Belanda bagaimanapun menang dalam perlawanan semula dengan jaringan 4-0.

England tiba di Jerman Barat untuk pusingan akhir dengan rekod cemerlang berbanding pasukan kelayakan lain apabila menjaringkan 19 gol dan bolos hanya satu gol.

Bagaimanapun England dilihat mencapai tahap terbaik terlalu awal dan tewas dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan ketika menentang Republik Ireland, Belanda dan USSR.

Penyerang Milan, Marco Van Basten yang menjaringkan hatrik ketika menentang England berdepan masalah kecederaan sepanjang musim tetapi rakan dan mentornya Johan Cruyff memujuknya untuk menyertai kelab itu. Malangnya kekalahan kepada USSR pada perlawanan pertama menyebabkan Belanda menduduki tangga kedua kumpulan.

Jerman Barat mendahului satu lagi kumpulan kemudiannya menentang Belanda
di separuh akhir, mendahului menerusi jaringan penalti Lothar Matthaus selepas Jurgen Klinsmann dijatuhkan. Belanda segera bangkit dengan Ronald Koeman memanfaatkan penalti sebelum jaringan Van Basten memastikan kemenangan mereka.

USSR pula mengekalkan rekod cemerlang dalam kejohanan ini selepas menewaskan Itali dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Perlawanan akhir yang diadakan di Olympiastadion menyaksikan Belanda berdepan skuad Soviet yang kehilangan pertahanan mereka, Oleg Kuznetsov yang digantung perlawanan.

Begitupun, kehadiran Kuznetsov sendiri tidak dapat membantu apabila gandingan Belanda, Van Basten dan kapten pasukan Ruud Gullit mengganas di padang dan masing-masing menjaringkan gol untuk bergelar juara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...