Petanda Azlan tawan Qatar



AZLAN Shah Kamaruzaman melaungkan amaran awal kepada barisan pencabarnya bahawa dia tidak memandang mudah perlumbaan penutup tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas yang akan berlangsung di Litar Losail, Qatar hari ini.

Pelumba pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia itu mula mempamerkan kegarangannya apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan pertama kelas SuperSports 600cc semalam.

Dia tampil hebat untuk melakukan catatan masa 2 minit 08.247 saat, manakala Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline Malaysia dan Md. Zamri Baba (Petronas Yamaha Malaysia) masing-masingnya menamatkan sesi tersebut di tempat kedua dan ketiga terbaik dengan 02:08.656s dan 02:08.879s.

Azlan yang berharap dapat mencatat kemenangan pada saingan penutup tirai di Doha itu ternyata gembira kerana berjaya melakukan masa terpantas meskipun dia mampu melakukan catatan lebih baik.

"Saya gembira tetapi pada masa yang sama tidak begitu berpuas hati kerana saya yakin mampu melakukan pecutan lebih pantas," katanya.

"Sewaktu sesi latihan bebas, dua pencabar saya iaitu Katsuaki Fujiwara (Manual Tech BEET Kawasaki Racing) dan Hafizh berjaya mencatat masa yang lebih baik daripada apa yang saya lakukan tadi, namun saya berjaya mengatasi catatan mereka pada sesi kelayakan pertama.

"Fujiwara berjaya mencatat rekod litar yang baharu apabila dia melakukan 02:08.025s, manakala Hafizh berjaya melakukan catatan 02:08.123s.

"Tambahan pula, Fujiwara tidak keluar ketika sesi kelayakan. Oleh itu, saya tidak boleh terlalu gembira dengan pencapaian hari ini (semalam)."

Ditanya berkenaan strateginya menghadapi perlumbaan sebenar hari ini, Azlan menjelaskan: "Saya perlu lebih berhati-hati dan cuba mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan.

"Sewaktu sesi latihan bebas awal tadi (semalam), saya terjatuh pada pusingan kedua, jadi saya tidak mahu kesilapan serupa berulang pada perlumbaan sebenar kelak.

"Bagi sesi hari esok (hari ini), kami mungkin melakukan beberapa perubahan pada pelarasan enjin dan akan melihat bagaimana hasilnya.

"Sasaran saya adalah untuk memulakan perlumbaan di barisan hadapan dan saya akan melakukan yang terbaik untuk merealisasikannya."
 
Dalam saingan kategori Underbone 115cc, Mohd. Rozaiman Mohd. Said masih berada di landasan tepat untuk mempertahankan kedudukan di tangga ketiga keseluruhan pada ketika ini setelah berjaya melakukan catatan keempat terpantas.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang itu mencatatkan masa 2:40.445s pada pusingan ketujuh, diikuti rakan senegara, Norizman Ismail (Y-TEQ SCK Honda Racing) di kedudukan kelima dengan masa 2:40.578s.

Hadi Wijaya dari pasukan Kawasaki NHK Rextor Manual Tech muncul pelumba terpantas dengan memadam rekod litar 2:40.373s yang dilakukan oleh Mohd. Ramdan Mohd. Rosli pada tahun lalu.
Hadi melakukan catatan 2:36.907s, diikuti rakan senegara, Gupita Krishna yang membuat 2:38.907s.
Pendahulu keseluruhan, Rafid Topan Sucipto (Yamaha CKJ TJM Racing) di tempat ketiga dengan catatan 2:39.237s.

Rozaiman yang telah mengumpul 79 mata bagaimanapun tetap berpuas hati dengan apa yang dicapainya pada sesi kelayakan semalam.

"Saya agak terkejut kerana berada dalam kalangan lima pelumba terbaik memandangkan pada sesi latihan bebas tadi kami mengalami beberapa masalah dengan pelarasan enjin.

"Saya gembira kerana mekanik pasukan berjaya mengenal pasti dan mengatasi masalah dengan mengubah saiz sprocket dan juga membuat pelarasan terhadap enjin.

"Akhirnya saya berupaya mencatat masa lebih baik," kata pelumba 22 tahun itu sambil berharap untuk melakukan catatan sekitar 1:39s pada sesi kelayakan kedua hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...