Respon PMRAM Terhadap Spekulasi Kristian Menjadi Agama Rasmi


KAHERAH, 15 Mei - Pihak PMRAM melahirkan rasa kesal terhadap spekulasi berkaitan agama Kristian menjadi agama rasmi melalui agen DAP. Berita ini telah disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia pada 7 Mei yang lalu.
Spekulasi yang telah ditimbulkan oleh surat khabar Utusan Malaysia merupakan suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku, kerana ia boleh membawa kepada isu perpecahan dalam negara Malaysia.



Lebih-lebih lagi apabila ramai pihak mempertikai sumber berkaitan isu berkenaan yang diperolehi daripada blog semata-mata. "Sebagai surat khabar yang menjadi lidah rasmi kerajaan,isu sebegini adalah tidak wajar apatah lagi hanya bersumberkan daripada blog semata-mata," ujar Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman.


Tambah beliau, kredibiliti Utusan Malaysia kini telah tercalar apabila sikap mendapatkan sumber maklumat hanya sekadar blog bukannya melalui carian dan kajian pihak wartawan. Bagi beliau, isu agama rasmi sepatutnya tidak timbul dan tidak perlu dipersoalkan kerana ia termaktub dalam perlembagaan negara dan berada di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di Malaysia.


Justeru, apabila ia dimainkan oleh pihak media, pihak tersebut seolah-olah mahu menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. "Pihak PMRAM meminta agar tindakan tatatertib mesti dikenakan bagi mencegah perkara-perkara yang mendatang agar spekulasi-spekulasi sebegini tidak lagi timbul.

Tidak kira mana-mana pihak, media mahupun individu kesalahan bagi menimbulkan perpecahan adalah berat di sisi undang-undang Malaysia," tegas Presiden PMRAM.


Sehubungan itu, PMRAM menyatakan ia turut bersama-sama dengan suara mahasiswa Malaysia antaranya GAMIS dan PMIUPM yang mengecam tindakan pihak terbabit berkaitan isu ini. "Kita memandang serius isu ini kerana ia melibat isu agama dan sentimen perpecahan.


Pihak PMRAM akan menghantar surat kepada pihak terbabit untuk meminta maaf ke atas spekulasi yang telah dilakukan dan menarik balik berita yang telah disiarkan," ujar Presiden PMRAM ketika dihubungi. 

4 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...