Kesungguhan Bale


PEMAIN sayap Tottenham Hotspur, Gareth Bale menegaskan dia tidak akan bersenang-lenang selepas menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional (PFA) Inggeris.

Pemain berusia 21 tahun itu diundi sebagai pemain terbaik di England musim ini oleh rakan seperjuangannya selepas rentetan beberapa persembahan menakjubkan buat Spurs pada kempen Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.



Bale disenaraikan di samping enam pemain lain bagi anugerah itu, dengan Samir Nasri dari Arsenal kedua manakala pemain Manchester City, Carlos Tevez meraih tangga ketiga.

Tevez mendapat undian Bale, yang kini berazam untuk meningkatkan persembahan berikutan kejayaan Ahad lalu.

“Saya mahu mencapai tahap setinggi boleh,” katanya.

“Sememangnya ia satu pengiktirafan besar untuk diukir nama di trofi ini dan saya pula adalah pemain keempat dari Tottenham menerimanya.

“Ia amat besar dan saya mahu cuba serta perbaiki diri daripada sini dan harapnya menjadi semakin baik.

“Saya fikir saya masih ada masa dan ruang untuk terus meningkat,” katanya.
“Saya baru saja berusia 21 tahun dan saya masih perlu banyak belajar.

“Saya fikir jika saya terus bekerja keras dalam latihan dan perlawanan, sesuatu yang saya akan lakukan, maka harapnya saya boleh terus meningkat dan menjadi lebih baik.”

Anugerah itu menandakan perubahan besar daripada segi tuah Bale, yang sebelumnya bergelut dengan prestasi dan kecederaan selepas perpindahan menerusi bayaran lumayan dari Southampton pada 2007.

Pemain sayap itu mengakui perubahan besar tuahnya agak mengejutkan tetapi menegaskan ia adalah bukti apa yang boleh dicapai menerusi usaha keras dan percaya dengan kebolehan diri sendiri.

“Saya sering percaya dengan diri sendiri bahawa saya mampu melakukannya dan ia berlaku dalam tempoh singkat, sesuatu yang agak aneh,” katanya.

“Saya cuba dan berhati-hati dengan setiap langkah saya, cuba dan berdepan setiap hari dalam kehidupan saya dan hanya bekerja keras di atas padang bola sepak.

“Saya bermula dengan baik di Tottenham namun kemudiannya saya mengalami kecederaan lantas terpaksa diketepikan selama lapan bulan.

“Bangkit daripada situasi itu amat sukar dan kemudiannya untuk mengembalikan prestasi mengambil masa dan saya dileteri beberapa kali.

“Tidak mampu untuk berada dalam pasukan adalah mengecewakan tapi saya fikir akhirnya jika anda percaya dengan diri sendiri dan anda terus bekerja keras, anda boleh berada pada tahap yang anda mahukan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...