Dr. Usamah Al-Abd Rektor Universiti Al-Azhar Yang Baru



Jeneral Hussin Mohd Tantawi, Ketua Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir, telah mengisytiharkan secara rasminya pada hari Ahad lepas perlantikan Dr. Usamah Mohd Mohd Hassan al-Abdu, Ketua Jabatan Ijazah Lanjutan Dan Kajian Universiti Al-Azhar  sebagai Rektor Universiti al-Azhar yang baru, bagi menggantikan rektor yang terdahulu iaitu Dr. Abdullah al-Husaini, yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Wakaf dalam kerajaan di bawah pimpinan Dr. Ahmad Syafiq.


Dr. al-Abd merupakan professor dalam bidang Fiqh Islami yang telah menamatkan pengajiannya peringkat PhD bahagian Fiqh Perbandingan pada tahun 1985 dengan pangkat Mumtaz (cemerlang). Beliau juga menuntut di jabatan yang sama ketika pengajian di peringkat master pada tahun 1981. Pada tahun 1975, beliau telah mencapai keputusan Jayyid Jiddan (sangat baik) ijazah sarjana muda Fakulti Syariah dan Undang-undang. Kini, beliau berusia 62 tahun dan mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak.

Dr. al-Abd memulakan kerjaya akademiknya sebagai tenaga pengajar di Universiti al-Azhar sejak tahun 1976 lagi, dan pada masa yang sama berkhidmat di Fakulti Undang-undang, Universiti Mansurah. Kemudian telah berhijrah ke Kuwait dan berkhidmat di Fakulti Pendidikan Asas, Jabatan Am Pengajian Praktik tahun 1988 sehinggalah tahun 1994. Seterusnya berkhidmat pula di Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Kuwait sehingga tahun 2003 dan seterusnya di Akademi Polis Syeikh Saad juga di Kuwait. Selepas itu pulang semula untuk mencurahkan bakti di Universiti al-Azhar sebagai Timbalan Rektor universiti sebelum dilantik sebagai rektor baru-baru ini.

Kehebatan dari sudut keilmuan Dr. al-Abd dapat dilihat apabila beliau berjaya menulis lebih daripada 30 buah kitab dan kajian yang berkaitan hukum dengan muamalat dalam Fiqh Islam selain menyertai pelbagai perhimpunan ilmiah dan islamiah di Mesir dan juga luar negara. Beliau juga merupakan salah seorang pakar rujuk dalam penyediaan tesis master dan PhD di Universiti al-Azhar dan beberapa universiti Arab yang lain terutamanya di Kuwait.


Sumber : http://www.masrawy.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...